~BINGKISAN HATIKU~

"sekalipun cinta telah ku uraikan dan ku jelaskan panjang lebar, namun jika cintaku datangi, aku jadi malu pada keteranganku sendiri..
meskipun lidahku telah mampu menghuraikan, namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang, sementara pena begitu terus saja menuliskan..
kata-kata pecah berkeping-keping, begitu sampai kepada cinta..
dalam menguraikan cinta, akal terbaring tidak berdaya, bagaikan keldai berbaring di dalam lumpur..
cinta sendiri yang mengubah CINTA"
~عندما يسبيح الحب~
Memaparkan catatan dengan label peringatan bersama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label peringatan bersama. Papar semua catatan

Isnin, 26 Mac 2012

~ penghulu bidadari ~




bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan kekuatan untuk terus berusaha menjadi Sang Bidadari Dunia & Akhirat...terimalah dariku buatmu..


~PENGHULU BIDADARI~

di mata manusia dia hanyalah insan biasa,
tiada apa yang istimewa,
tetapi pada sang pencipta,
dia mutiara berharga

di sisi manusia akhlakmu dipuji,
buat ikutan mereka yang mencari,
menjadi bidadari pilihan hati,
semoga akhlakmu subur mewangi

seluruh alam mengenalimu,
namamu disebut-sebut selalu,
kehadiranmu dinanti setiap waktu,
tiada kata engkau yang dirindu

Fatimah Az-zahra nama diberi,
puteri Baginda yang paling dikasihi,
mengabdikan diri buat sang suami,
bagi menggapai redha ilahi

wahai wanita yang kurindui,
bertemumu di sana impian diri,
tempatnya di syurga itu yang pasti,
menjadi penghulu sekalian bidadari

penghulu bidadari itu gelaranmu,
membuat diriku bertambah cemburu,
ketabahanmu itu inspirasiku,
semoga dirimu mampu kutemu.

nukilan: bidadari to be...



semoga kita berjaya menjadi bidadari yang diimpikan...

PICC, Putrajaya
~konvensyen bidadari dunia 2012~
25 mac 2012
11.00 - 12.00pm



Isnin, 13 Februari 2012

tragedi 20/08/2011


Bismillahirrahmanirrahim...atas beberapa sebab..sya postkan gambar-gambar dihari kejadian..semoga sama-sama mendapat manfaat darinya..


biarlah hanya gambar yang berbicara.........tragedi 20/08/2011




3 buah kenderaan yang terlibat (van vanette, van rusa & lori 6 tayar)




jiran tetangga bergegas ke tempat kejadian..



bantuan jiran tetangga untuk mengeluarkan mak & abang yang tersepit..


keadaan van kesayangan kami sekeluarga...sudah habis bayar, tetapi masih seperti baru dibeli..



salah seorang saudara menyelamatkan barang-barang milik mak abah



keadaan abah yang tersepit ditempat pemandu..



abah berjaya dikeluarkan..ketika ini, nafasnya sudah terhenti..malaikat maut sudah menjemputnya kembali...



jenazah abang berjaya dikeluarkan..janji untuk menjaga tok wan dipegang hingga ke akhir hayatnya..hingga ke liang lahad bersemadi bersama...


AL-FATIHAH

اللهم اغفر لهم وارحمهم وعافهم واعف عنهم وأكرم نزلهم ووسع مدخلهم واغسلهم بالماء والثلج والبرد ونقهم من الخطايا كما نقيت الثوب الأبيض من الدنس . وأبدلهم دارا خيرا من دارهم وأهلا خيرا من أهلهم وازواجا خيرا من ازواجهم وأدخلهم الجنة وأعذهم من عذاب القبر





Isnin, 1 Ogos 2011

~5 bonus khas Ramadhan buatmu~

ALHAMDULILLAH.....hari ke-2 berpuasa bagi umat islam hari ini..melihat keletah anak-anak disekolah menjalani ibadah puasa membuatkan fikiran melayang mengimbau kenangan di zaman kecil dahulu...mesti bermacam ragam seperti mereka juga..post kali ini sya akan kongsikan 5 bonus khas Ramadhan yang diberi oleh ALLAH untuk hamba-NYA yang berpuasa..


dari ABU HURAIRAH R.A. meriwayatkan bahawa RASULULLAH S.A.W. bersabda yang bermaksud : " umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat yang terdahulu ketika Ramadhan iaitu:
1) bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi ALLAH.

2) para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3) ALLAH memperindahkan syurga-NYA setiap hari dan berfirman : " hampir-hampir hamba-hamba-KU yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu." (mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat)

4) syaitan-syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadhan.

5) mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya). mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda S.A.W..: " Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam lailatulqadar?" Baginda menjawab: "bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalnya." (riwayat Ahmad)

maka dengan itu, marilah kita bersama-sama bergerak menjadi hamba terbaik untuk menggapai redha Ilahi...hendak seribu daya, kalau tidak mahu ciptlah beribu alasan untuk tidak melaksanakannya..semoga perkongsian ini membawa kebaikan kepada sya dan juga yang sudi membacanya..

sekian dulu untuk kali ini..insyaALLAH berjumpa lagi di lain perkongsian..semoga hidup kita terus dirahmati-NYA..

~dariku untuk mu~
surau Al-Farabi
SK TUN TEJA,
Rawang
(11.00 a.m)

Ahad, 24 Julai 2011

~ramadhan yang dirindui semakin menghampiri~






Diam tak diam...masih hanya berbaki 1 minggu lagi sahaja untuk umat islam menyambut kedatangan RAMADHAN...owhhhhhh...sangat2 merindui semangat ramadhan di dataran syam sana...tentulah suara lunak syiekh makmun mengalunkan ayat-ayat suci ketika solat terawikh masih terngiang-ngiang dicuping telinga, walau di mana pun kita, puasa tetap puasa...


Cuma mungkin suasana di bumi Malaysia ini agak berlainan...kita baru nak menyambut ketibaan puasa, tapi iklan raya, rancangan tv raya, jualan murah baju raya, kasut raya, kuih raya pun semakin rancak...owhhh.......alangkah indahnya jika ketibaan bulan ramadhan ini juga disambut meriah seperti menyambut ketibaan syawal..semoga hari itu menjadi realiti...

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan
usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan dan harapkan :

“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan.”




“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, iaitu bulan yang berkat, maka Allah telah mewajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dan akan dibukakan seluas-luasnya pintu-pintu syurga, dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka dan akan ditambat para syaitan laknatullah, Dan di dalam bulan ini juga terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia adalah dikalangan orang-orang yang rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

Itulah diantara kelebihan-kelebihan bulan RAMADHAN ini...jom sama-sama menambah saham -saham pahala dan bersama-sama mengejar keredhaan-NYA...moga-moga kitalah PENCINTA ILAHI, PENGEMIS SYAFAAT NABI DAN PERINDU SYURGA ILAHI yang sejati.....jom bersama kearah itu....

selamat menyambut dan meningkatkan saham-saham di bulan RAMADHAN ini untuk dituai di negeri abadi nanti...selamat menunaikan ibadat puasa dengan sebaik-baiknya dari kami sekeluarga..salam sayang untuk ummah.......

*semoga masih diberi keizinan dan kesempatan waktu untuk menerokainya*

12.15 am
tun teja, rawang

Isnin, 19 April 2010

~muhasabah cintaku~




Jika kita mencintai seseorang, kita akan sentiasa mendoakannya walaupun dia tidak berada disisi kita.

Tuhan memberi kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Itulah namanya Cinta...

Jangan sesekali mengucapkan selamat tinggal jika kamu masih mahu mencuba. Jangan sesekali menyerah jika kamu masih merasa sanggup. Jangan sesekali mengatakan kamu tidak mencintainya lagi jika kamu masih tidak dapat melupakannya.

Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah dikecewakan. Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati. Kepada mereka yang masih ingin mencintai, walaupun mereka telah disakiti sebelumnya dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk membangunkan kembali kepercayaan.

Jangan simpan kata-kata cinta pada orang yang tersayang sehingga dia meninggal dunia , lantaran akhirnya kamu terpaksa catatkan kata-kata cinta itu pada pusaranya . Sebaliknya ucapkan kata-kata cinta yang tersimpan dibenakmu itu sekarang selagi ada hayatnya.


Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu.

Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat.


Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan adalah mencintai seseorang dan kamu tidak pernah memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.


Seandainya kamu ingin mencintai atau memiliki hati seorang gadis, ibaratkanlah seperti menyunting sekuntum mawar merah. Kadangkala kamu mencium harum mawar tersebut tetapi kadangkala kamu terasa bisa duri mawar itu menusuk jari.

Hal yang menyedihkan dalam hidup adalah ketika kamu bertemu seseorang yang sangat bererti bagimu. Hanya untuk menemukan bahawa pada akhirnya menjadi tidak bererti dan kamu harus membiarkannya pergi.


Kadangkala kamu tidak menghargai orang yang mencintai kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna sesalan kerana perginya tanpa berpatah lagi.

Cintailah seseorang itu atas dasar siapa dia sekarang dan bukan siapa dia sebelumnya. Kisah silam tidak perlu diungkit lagi kiranya kamu benar menyintainya setulus hati.


Rasa percintaan lebih pahit dari hempedu .Teman percintaan ialah sayu dan pilu, namun demikian, dara dan teruna tetap berpusu-pusu terjerumus ke dalamnya kerana dianggap seperti lautan madu

Hati-hati dengan cinta, kerana cinta juga dapat membuat orang sihat menjadi sakit, orang gemuk menjadi kurus, orang normal menjadi gila, orang kaya menjadi miskin, raja menjadi budak, jika cintanya itu disambut oleh para pecinta palsu.

Berkemungkinan apa yang kamu sayangi atau cintai tersimpan keburukan di dalamnya dan berkemungkinan apa yang kamu benci tersimpan kebaikan di dalamnya.


Cinta kepada harta ertinya bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam. Cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup dan cinta kepada Tuhan ertinya Takwa.


Lemparkan seorang yang bahagia dalam bercinta ke dalam laut, pasti ia akan membawa seekor ikan. Lemparkan pula seorang yang gagal dalam bercinta ke dalam gudang roti, pasti ia akan mati kelaparan.

Seandainya kamu dapat berbicara dalam semua bahasa manusia dan alam , tetapi tidak mempunyai perasaan cinta dan kasih, dirimu tak ubah seperti gong yang bergaung atau sekadar canang yang gemerincing.

Cinta adalah keabadian...dan kenangan adalah hal terindah yang pernah dialami


Siapapun pandai menghayati cinta tapi tiada siapa yg pandai menilai cinta kerana cinta bukan objek yg boleh di lihat oleh mata kasar. Sebaliknya cinta hanya dapat ditilik melalui hati dan perasaan.

Cinta mampu melunakkan besi, menghancurkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat budak menjadi pemimpin. Inilah dasyatnya cinta !

Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam dirinya.


Kamu tidak pernah tahu bila kamu akan jatuh cinta. namun apabila sampai saatnya itu, raihlah dengan kedua tanganmu,dan jangan biarkan dia pergi dengan sejuta rasa tanda tanya dihatinya

Cinta bukanlah kata murah dan lumrah dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang indah dan suci jika manusia dapat menilai kesuciannya.

Bercinta memang mudah. Untuk dicintai juga memang mudah. Tapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai itulah yang sukar diperoleh.

Andainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir.


Cinta sesuatu yg mengasyikkan,ia boleh membuat kita hilang kewarasan fikiran. Cinta juga sebenarnya indah jika pandai menghayatinya. Sebaliknya cinta boleh jadi racun jika tersalah tempat. Apa pun cinta itu buta.

Anyamlah buih-buih di laut demi membuktikan cinta yang suci tanpa menodai keaslian pantai itu.

Cinta sebenarnya tidak buta. Cinta adalah sesuatu yang murni, luhur dan diperlukan.
Apa yang buta ialah bila cinta itu menguasai dirimu tanpa pertimbangan.

Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak. Bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka. Bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merindu dan cemburu.


Cinta bukanlah dari kata-kata tetapi dari segumpal keinginan diberi pada hati yang memerlukan. Tangisan juga bukanlah pengubat cinta kerana ia tidak mengerti perjalananan hati naluri.

Kejarlah cita-cita sebelum cinta, apabila tercapainya cita-cita maka dengan sendirinya cinta itu akan hadir

Cinta seringkali akan lari bila kita mencari, tetapi cinta jua seringkali dibiarkan pergi bila ia menghampiri

Bercintalah dengan pelajaran, bertunanglah dengan mengulangkaji, berkahwinlah dengan peperiksaan dan berbulan madulah dengan kejayaan.


Cinta pertama adalah kenangan. Cinta kedua menjadi pengajaran. Dan cinta yang seterusnya adalah satu keperluan kerana hidup tanpa cinta bagaikan masakan tanpa garam. Lantaran itu bajailah cinta yang dianugerahkan itu sebaik-baiknya. Agar ia terus mekar dan wangi sepanjang musim.

Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir.Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa kekecewaan itu.

Hanya diperlukan waktu seminit untuk menafsir seseorang, sejam untuk menyukai seseorang dan sehari untuk mencintai seseorang, tetapi diperlukan waktu seumur hidup untuk melupakan seseorang.

Cinta itu apabila kamu bertemu dan membuat pilihan yang tepat

Cinta kurniaan Ilahi mengapa mesti dibenci? Yang harus dibenci dan dihindari ialah kepalsuan, bukan cinta.

Hidup tanpa cinta seperti makanan tanpa garam. Oleh itu, kejarlah cinta seperti kau mengejar masa, dan apabila kau sudah mendapat cinta itu, jagailah ia seperti kau menjaga dirimu, sesungguhnya cinta itu kurniaan Tuhan Yang Maha Agung.


“Aku mencintaimu”, sukarkah untuk dilafazkan?

Sesuatu percintaan yang terjalin di antara dua insan itu tiada ada kemesraan atau kemanisannya sekiranya sentiasa membayangi akan kemusnahan, kekecewaan dan kehancuran.

Cintailah orang yang engkau kasihi itu sekadarnya belaka, barangkali dia akan menjadi orang yang kau benci pada suatu hari kelak. Juga bencilah terhadap orang yang kau benci itu sekadarnya belaka barangkali dia akan menjadi orang yang engkau kasihi pada suatu hari nanti.


Menerima cinta dari seseorang secara terburu-buru tanpa usul periksa latar belakangnya akan merugikan kerana cendawan yang tumbuh melata jika terus dimakan dikhuatiri beracun.

Usah diratapi perpisahan dan kegagalan bercinta kerana hakikatnya jodoh itu bukan ditangan manusia. Atas kasih sayang Tuhan kau dan dia bertemu dan atas limpahan kasihNya jua kau dan dia dipisahkan bersama hikmah yg tersembunyi. Pernahkah kau terfikir kebesaranNya itu???


Cinta itu tidak menjanjikan sebuah rumahtangga aman damai, tetapi penerimaan dan tanggungjawab adalah asas utama kebahagiaan rumahtangga. Cinta hanya sebuah keindahan perasaan. Cinta akan bertukar menjadi tanggungjawab apabila terbinanya sebuah rumahtangga.

Janganlah mengigil kedinginan kerana hilangnya cinta .Tetapi mengigillah dengan kedinginan kerana tiada lagi ada rasa.

Memberikan seluruh cintamu kepada seseorang bukanlah jaminan dia akan membalas cintamu. Jangan mengharapkan balasan cinta, tunggulah sampai cinta berkembang di hatinya, tetapi jika tidak, berbahagialah kerana cinta tumbuh di hatimu.


Berkasih sayang adalah suatu akhlak yang mulia. Oleh itu semai dan bajailah rasa kasih sayang dan cinta terhadap sesama insan, lebih-lebih lagi kepada Allah SWT kerana Allah terlalu kasihkan hambaNya lebih daripada seorang ibu mengasihi anaknya.

Cinta ia tetap hadir,ia datang bukan dengan nafsu atau keinginan tetapi kepasrahan tentang yang mutlak, itulah cinta terulung.


Cinta bukanlah dari kata-kata tetapi dari segumpal keinginan diberi pada hati yang memerlukan.

Usah gembira pada kelahiran cinta pertama. Jua usahlah menangis di awal kegagalan kerana kekeliruan seimbang pertemuan dan perpisahan. Kebahagiaan tidak semestinya kekal abadi.

Pergaulan di antara lelaki dan perempuan pada hari ini diibaratkan seperti minyak dengan api, apabila tersentuh maka maraklah ia.

Untuk menyelami cinta dan cita-cita, anggap dahulu cinta itu derita dan cita -cita itu cahaya. Sebelum mendekati erti cinta, mengertilah dahulu erti cita-cita dan sebelum mengenal cinta, kenallah dahulu cita-cita.

Cinta yang terselit pendustaan ibarat kehidupan yang bercampur gaul dengan penghinaan.

Cinta adalah jika kamu kehilangan rasa, ghairah, romantika dan masih tetap menghargainya.

Cinta lebih mudah mekar di hati yang sedang dilanda kecewa. Cinta seperti ini adalah cinta yang mengharapkan belas kasihan, sebab itu bila sepi telah punah maka selalunya cinta juga akan turut terbang.


Bukan dikatakan cinta apabila yang menjadi matlamatnya semata-mata untuk memiliki sepenuhnya. Tetapi cinta itu ialah perkongsian di dalam kecenderungan dan kegemaran serta perasaan bahawa diri orang yang anda cintai itu tidak kurang pentingnya dari anda.

Manusia merasa kesepian dari cinta kerana mereka kerap hanya membangun dinding, bukannya jambatan kasih sayang.

Cinta yang dikaitkan dengan kepentingan peribadi akan berubah menjadi putus asa.

Dalam percintaan kamu janganlah kamu kesali perpisahan tetapi kesalilah pertemuan kerana tanpa pertemuan tidak ada perpisahan.


Kahwinilah orang yang lebih mencintai diri kita daripada kita mencintai diri orang itu. Itu lebih baik daripada mengahwini orang yang kita cintai tetapi tidak menyintai diri kita kerana adalah lebih mudah mengubah pendirian diri sendiri daripada mengubah pendirian orang lain.

Hiduplah dengan cinta! Tetapi bukan bererti cinta buta. Kita dapat mencintai hidup dengan lebih baik, yaitu cintailah sekelilingmu, baik yang ada diluar dirimu atau didalam dirimu.

Cinta yang suci dapat dilihat dari pengorbanan seseorang, bukanlah dari pemberian semata-mata.



Rasa cinta itu jika dipupuk ke arah dan sinar yang lurus akan membawa pengekalan abadi.
Selagi usia di kandung badan .Selagi jiwa merantai hati

Bibir tidak perlu berkata , bila hati sudah bersuara nada cinta dan rindu.

Cinta adalah penyakit manakala perasaan adalah kumannya. Perkahwinan pula merupakan ubat penawarnya.

Ibaratkanlah kehilangan cinta itu umpama hilangnya cincin permata di lautan luas yang tiada bertepi dan harus dilupakan.

Pabila cinta tidak diajarkan di rumah, hampir tidak masuk akal untuk mempelajarinya di mana pun.


Cinta tidak selalu bersama jodoh tapi jodoh selalu bersama cinta.

Kata pujangga cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya jelas sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekaligus mengendalikan tindakan kita sehingga kadangkala kita melakukan hal terbodoh tanpa sedari.

Cinta adalah penyakit dan perkahwinan ialah sihat. Sakit dan sihat tidak bertemu.

Cinta dimulai dengan senyuman, tumbuh dengan dakapan dan seringkali berakhir dengan air mata.


~seindah cinta~



MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI

Janganlah kau angkuh melaungkan...
Si dia kepunyaanmu...
Atau kau kepunyaan si dia ...
Kerana hakikatnya...
Kita tidak pernah memiliki sesiapa...

Walau sekeping hati seorang insan...
Tidakkah kau sedar...
Hukum alam menyatakan...
Menyintai tidak semestinya memiliki?...

Manusia pandai berpura...
Berlakon di pentas dunia...
Dan bertopeng menutup rahsia..
Tetapi hati...
Tidak pernah berdusta pada empunya...
Tentang perasaan yang bergolak di dalamnya...

Tidakkah kau sedar...
Mungkin si dia melafazkan...
Ungkapan cinta padamu...
Tetapi hati dan perasaannya...
Tidak pernah berniat begitu...

Dia hanya berselindung...
Di sebalik sejuta alasan...
Dan kau...
Begitu jujur dan setia menyintainya..
Sehingga terlupa..
Hukum alam menyatakan..
Menyintai tidak bermakna memiliki..

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu..."
"Dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah...
Kita sebenarnya kepunyaan..
Yang Maha Esa...
Tiada sesiapa berhak memiliki diri kita...
Kecuali Dia...

Dia mengasihi hambaNya...
Dia memiliki hambaNya...
Dan ke pangkuan Dia kita akan dikembali......

~ku REDHA dgn KEHENDAK & ATURAN DARI-MU YA RAHMAN~




Jumaat, 18 Disember 2009

~pinjaman yang dituntut kembali~

setelah seminggu berlalu...
jumaat
11 disember 2009
8.30 pagi

Ya ALLAH...APA NI???tersentak melihat laptopku dipenuhi oleh tetingkap Ym dari sahabat-sahabtku di sini..

INNALILLAHI WA INNA ILAI ROJIOUN..terus meluncur laju dibibir bersama linangan air mata, bukan meratapi, tetapi ianya mengalir tanpa paksaan, bukti kasihnya diri ini pada Arwah..ALLAH lebih sayangkan ustaz melebihi dari kita yang ada di dunia ini..

terkilan rasa hati..kekangan masa dan exam menyebabkan diri ini tidak langsung berkesmpatan melawat arwah ketika masih ada hayatnya..peringatan demi peringatan datang buat kami disini..6/12 ibu kepada adik juniorku (hanis najwa) dijemput pulang selama-lamanya..sekarang ustaz kesayangan kami pula dijemput pulang..arwah merupakan Pegawai Atase Pendidikan disini..orang ke-2 selepas pengarah MSD..

arwah ustaz arman dalam kenangan

kami akan merindui ustaz..ustaz yang sentiasa mekar dengan senyuman, seorang yang mudah mesra dengan pelajar,sentiasa memberikan contoh teladan yang baik, tidak kekok bergaul dengan pelajar, sentiasa memberikan layang terbaik, penuh dengan kata-kata hikmah & nasihat, sentiasa dipenuhi dengan kasih-sayang..itulah arwah..

salam takziah buat isteri, anak-anak, keluarga, EMBASSY Malaysia, MSD (Malaysian student depatpent)& seluruh warga Malaysia di jordan di atas penuntutan pinjaman terhadap sebutir mutiara ini...semoga k.sue & anak-anak (alifah, amirah, abdullah & aisyah) tabah dan sabar dalam menghadpi ujian yang maha berat ini..berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban..kenangan-kenangan bersama arwah ustaz akan tersimpan utuh dalam kotak memori dan hati kami..terima kasih atas segala jasa baktinya..

~kenangan terindah~
arwah ustaz arman, k.sue & anak-anak (alifah, amirah, abdullah & aisyah)

kepada semua pembaca budiman, marilah sama-sama berdoa semoga arwah ditempatkan dikalangan solihin & para syuhada' dijalan ALLAH..syahidnya arwah bukan dalam peperangan, tetapi insyaALLAH...syahidnya arwah dalam memastikan anak bangsanya tetap & istiqamah dalam menuntut ilmu di rantauan ini mengikut jalan yang digariskan oleh ALLAH..jauh dirantauan..sudah pasti banyak cabarannya..

~jenazah ustaz selamat dikebumikan di kampaung Ketereh, Kelantan pada 14/12/2009
~k.sue & anak-anak turut pulang bersama jenazah dan pulangnya k.sue ke malaysia, tanda berkemungkinan tiada lagi harapan untuk kita bertemu denganya di bumi jordan...
~bumi jordan akan berada dalam penantian lagi..10 tahun penantian yang lalu, kita dipinjamkan oleh ALLAH dengan sebaik-baik ustaz...moga ada hikmahnya..
~YA ALLAH..kuatkan aku jika episod ini terjadi terhadap diriku????mohon ketabahan dan kekuatan itu YA RABB..
~AL-FATIHAH
~semoga seorang sahabat kita yang masih ditahan di wad (ditimpa kecelakaan pada hari rabu baru ini) terus kuat menghadapi ujian itu..semoga cepat sembuh ye..

Isnin, 7 Disember 2009

~hulurkan tangan ringankan beban~


assalamualaikum......
entry kali ni berkaitan dengan sahabat seperjuangan saya di sini..NABILA HUDA..sepatutunya beliau akan sama-sama melangkah ke pentas berjubah konvo bersama saya pada bulan 6 depan insyaALLAH..tapi apakan daya. kita merancang..ALLAH juga merancang buat hamba-NYA.maka pastilah rancangan PENCIPTA kita adalah yang terhebat..pengajian beliau terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana beliau disahkan menghidap lukemia di tahap yang kronik..ya..siapa sangka, insan yang dulunya lincah, aktif bergerak ke sana ke mari, senyuman sentiasa mekar dibibir, rupa-rupa terbeban ke atasnya satu bebanan yang tidak disedarinya..tiba-tiba sakit dan disahkan ditahap yang kronik..MAHA HEBAT ALLAH itu kan kawan-kawan??semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan beliau & keluarganya..

"Saudara seiman dan seakidah sekalian,

Seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut dalam Jurusan Syariah di University of Yarmouk, Irbid (terletak kira-kira 150 km ke utara dari Amman, Jordan),

Saudari Nabilah Huda binti Zaim

telah disahkan menghidap Leukemia tahap kronik dan memerlukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum pada bulan Disember ini.

Kos pembedahan ialah sebanyak RM70 000 (RM50 000 untuk pembedahan dan RM20 000 untuk rawatan susulan)

dan ia tidak ditanggung oleh penaja beliau, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sehubungan dengan itu, saya berbesar hati untuk sama2 membantu dan mengajak rakan2 semua untuk sama2 menyumbang bagi menampung pembedahan beliau.

Tidak kira banyak atau sedikit, usaha kecil kita ini insyaAllah membantu.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan

Saudara Zaim Bin Shaari (bapa Nabilah) di talian +6013-3521226.

Sumbangan daripada para dermawan bolehlah dibankkan terus ke akaun-

(Maybank Zaim bin Shaari 162517025794)

Hp: +6013-3521226

Mari kita doakan agar saudari Nabilah Huda dan keluarganya dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan sepanjang melalui ujian daripada Allah SWT ini…Sesungguhnya penyakit itu daripada Allah, maka Allah jua yang akan meyembuhkan dan mempermudahkan….

~~Kepada semua kawan2 blogger yang membaca artikel ini, sama2lah kita membantu saudari Nabilah Huda Bt Zaim dengan mengcopy-paste posting ini ke laman anda...mudah2an kerja kita ini ada nilainya disisi Allah swt...Terima Kasih... ~~Allahumma yassir wala tu'assir....Amin..

~saya memohon kepada semua pembaca, pengunjung blog sya sudi menadah tangan sama-sama mendoakan kesihatan atau apa-apa yang terbaik buat sahabat saya itu..sungguh..sya amat menyayanginya walau kami bukan lama bersama..hanya 1 semester..mungkin kita tidak mampu sumbangkan wang ringgit..tapi doa saudara/i yang ikhlas lagi diperlukan..mungkin ada diantara kita yang ALLAH makbulkan doanya..siapa tahu kan?? jadi mohon pada semua ye..sebar-sebarkan..semoga ada nilai buat kita di sana nanti~

Selasa, 8 September 2009

~untukmu umat~

kepada semua sahabat yang sedang diuji..yang telah diuji..dan yang belum diuji dan yang mungkin akan diuji...

jangan bersedih wahai sahabatku..
Cinta ALLAH dan RASULULLAH menjamin kebahagiaan

jangan bersedih temanku...
Redha dengan anugerah ALLAH membuat kamu kaya di dunia

jangan bersedih kawanku..
ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmat-NYA yang amat luas

jangan bersedih saudaraku...
semata-mata anda berbeza dengan orang lain...
kerana setiap kejadian ALLAH itu ada kelebihannya tersendiri..

jangan bersedih duhai hati..
bila disakiti, dicela.direndahkan atau dizalimi..
kerana setiap perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha Esa

jangan bersedih lagi...
sesungguhnya sesudah kesusahan pasti ada kesenangan..

jangan bersedih..
kerana kesedihan anda merupakan kegembiraan bagi musuh anda..
jangan bersedih dan meratapi..
atas perilaku manusia terhadapmu..tetapi perhatikanlah perilaku mereka terhadap ALLAH

jangan bersedih wahai PEJUANG-PEJUANG AGAMA ALLAH..
ALLAH tidak akan mempersia-siakan pengorbananmu dan setiap perkara baik mahupun buruk, ada hikmahnya

jangan bersedih saudara seagamaku...
kerana dunia ini begitu hina untuk ditangisi..

DARI SEOARANG UMAT UNTUK UMAT...

Khamis, 11 Jun 2009

~hanya doa mampu kami kirimkan~

Asalamualaikum w.b.t.

Kaherah, 11 Jun - 5 pelajar perubatan Kaherah terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari Ain Sokhna selepas Maghrib malam semalam. Tujuan asal mereka ke sana untuk meninjau tempat sempena Rehlah Gen6 28 Jun ini.

Kenderaan yang dinaiki mereka diceritakan terbabas sewaktu cuba memotong sebuah lori akibat hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik. 3 mangsa yang berada di bahagian belakang cedera parah.Allahyarham Muhammad Ammar b Zulkifli, meninggal dunia di tempat kejadian manakala 2 lagi cedera parah.

Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Suez Al-Am sebelum dihantar ke Hospital Kasr El Ainy kerana kekurangan kemudahan.Abdul Rahman b Ramdzan dilaporkan telah sedarkan diri manakala Akram Abdul Kadir masih koma. Abdul Rahman patah lengan kanan, dan Akram didapati mempunyai darah beku di bahagian otak. Kedua-dua mereka dimasukkan ke bilik pembedahan jam 8 pagi tadi.

Jenazah Ammar tiba di Hospital Zahra' Abbasiah pagi tadi untuk diuruskan. Solat jenazah akan diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas Zohor nanti. Allahyarham akan dihantar pulang ke Malaysia esok pagi. Mereka yang mempunyai sebarang hutang piutang diharapkan dapat menuntut daripada waris Allahyarham dan dihalalkan segala salah dan silap.

2 lagi mangsa, Muhamad Fitri Tokiran dan Saif Jamaluddin hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang. Saif masih ditahan di balai polis Suez untuk soal siasat dan akan dibenarkan pulang ke Kaherah tengah hari nanti - mediaPERUBATAN Mesir


sampai ke hari ini inbox email dan ym penuh dengan berita-berita dari bumi cairo..terasa sebak di dada membacanya..semoga segalanya dipermudahkan..secara jujurnya sya memang tidak mengenalinya..tapi apa yang dibaca mengenainya membuktikan arwah sangat istimewa di hati sahabat-sahabatnya..

terasa terpanggil untuk mengepost ke halaman blog ini walaupun diri tidak mengenali mangsa-mangsa..tapi mungkin kerana keadaan kita yang sama, berjauhan dengan keluarga tersayang menambatkan dan mengukuhkan lagi hati-hati kita yang diperantauan ini untuk bersatu..walau kita berbeza pandangan, berbeza bidang yang dituntut, berbeza negeri, berbeza loghat, berbeza perangai, berbeza negara yang dirantau..tapi ada perkara yang tidak membezakan kita...kita adalah saudara seakidah, saudara hidup & mati dan kita juga adalah anak-anak dari bumi bertuah..MALAYSIA..

tersentuh hati apabila terlihat status ym seorang sahabat KIBA-MARA di Mesir sekarang.."tiada lagi gelak tawamu yang menyerikan bayt ini, pemergianmu amat dirasai...al-fatihah"..mungkin beliau lebih merasai kehilangan ahli bayt yang seorang itu..mana mungkin segala suka dan duka sahabat yang tinggal serumah boleh terhapus dalam sekelip mata..moga kalian semua tabah..kami disini turut merasainya..lebih-lebih lagi sahabat-sahabat tahun 3 JUST yang turut mengenali semua mangsa..

mari sama-sama kita doakan semoga ALLAH permudahkan segala urusan penghantaran dan pengkebumian arwah di Malaysia...juga mohon didoakan sahabat-sahabat kita yang masih di dalam keadaan kurang stabil akan terlepas dari segala kemungkinan yang buruk bagi diri mereka...kepada 2 orang lagi sahabat yang tidak mengalami kecederaan fizikal yang teruk, tapi sya yakin..dikala ini, mesti kecederaan mental yang amat teruk menghuni diri kalian..banyakkan berdoa dan terus mengadu dengan-NYA..ini qadha' & qadar yang perlu ditempuhi..mungkin ianya terkandung berjuta-juta hikmah yang masih tersembunyi..moga kalian terus tabah menghadapi ujian yang ALLAH timpakan ini..

mari sama-sama sedekahkan AL-FATIHAH kepada arwah..semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada' dan solihin..takziah diucapkan buat keluarga dan sahabat handai Allahyarham..

{ doa adalah senjata orang-orang mu'min }

Jumaat, 20 Februari 2009

~saidina bilal r.a. dan kecintaannya~

Alhamdulillah...Tanggal pada 12 Rabi'ul Awal Tahun Gajah mengikut pendapat yang masyhur, atau 9 Rabi'ul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi berpandukan kepada pendapat yang rajih, lahirlah Nabi Muhammad bin Abdullah s.a.w ke dunia.

kelahiran Rasulullah saw merupakan kelahiran yang ditunggu-tunggu. Bahkan ketibaan nabi akhir zaman ini sangat dinantikan oleh kaum yahudi. Namun dek kerana taksubkan kepada entiti perkauman, nabi utusan terakhir penyempurna kepada agama ini ditolak mentah-mentah oleh mereka bila mana nasabnya bukan daripada keturunan Bani Israil.

Sekarang kita ditinggakan baginda saw lebih daripada 1400 tahun yang lalu, terasa sangat jauh sekali jaraknya, hinggakan segala ajaran Islam kembali menjadi asing dalam bentuk pengamalan yang sebenar. Dagang dan merempat di bumi sendiri.

Pernah menguasai dua pertiga dunia, kini Islam kembali kepada zaman fitnah. Namanya sahaja sudah dipalitkan dengan pelbagai tomahan hinggalah kepada penghinaan kepada jasad yang nabi saw yang mulia. Semuanya tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menghilangkan nur Islam di bumi ALLAH ini.

Atas alasan kebebasan bersuara, baginda saw dihina lagi. Ulang cetak karikatur penghinaan kepada rasul saw oleh akhbar Denmark merupakan satu bukti. blog-blog menghina kekasih ALLAH ini juga wujud..Bahkan lambakan filem yang menghina agama ditonton tanpa perasaan oleh umat Islam sendiri.

Di manakan kita bila BAGINDA SAW dihina?
Di manakah kita bila BAGINDA SAW dicerca dan dimaki?
Di manakah kita bila BAGINDA SAW dilemparkan fitnah??

layakkah rasanya diri ini untuk menyatakan cinta kepadamu RASULULLAH...kerana dirimu insan mulia dan juga kekasih ALLAH..

sedikit kisah yang telah dijanjikan pada post yang lepas..tentang hebatnya kecintaan saidina Bilal b. Rabah r.a. terhadap baginda RASULULLAH SAW..semoga kita sama-sama dapat muhasabah diri masing-masing bagaimana dan dimana tahap kecintaan kita kepada Baginda...

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, saidina Bilal r.a antara sahabat yang tidak mampu lagi bermukim di bumi Madinah. Segala-galanya di kiri dan kanannya mengingatkan kembali kepada nostalgia bersama nabi s.a.w. Lantas beliau membawa diri ke Badariaan (sebuah tempat berdekatan Syam) untuk mengurangkan kesedihan dan kedukaan hatinya.

Satu hari saidina Bilal r.a didatangi oleh BAGINDA S.A.W. dalam mimpi. BAGINDA S.A.W. berkata: “Mengapa kamu menyepi wahai Bilal? Tidakkah kamu teringin menziarahiku ketika ini?”.

Tersedar daripada tidur dengan dalam keadaan sedih dan takut, beliau dengan segera menuju ke Madinah dan terus mendatangi maqam nabi s.a.w. tempat bersemadinya jasad kekasih dan kecintaaannya..Kesedihan menyelubungi diri, kisah pahit manis, suka dan duka perjuangan bersama nabi S.A.W telah meletakkan cintanya kepada RASULULLAH s.a.w melebihi daripada segala-galanya. Kini semuanya tinggal kenangan dalam lipatan memori yang abadi.

Seusai melepaskan kerinduannya kepada BAGINDA S.A.W di persemadian tersebut, dia mencari-cari cucu kesayangan nabi S.A.W, Hasan dan Husin r.a. Mereka dipeluk dan dicium tanda cinta yang tidak berbelah bahagi. Pinta mereka kepada saidina Bilal r.a; “kami berharap sangat untuk mendengar kembali azanmu yang telah dikumandangkan kepada baginda RASULULLAH S.A.W di masjid ini.

oleh kerana tidak mahu menghampakan harapan tersebut, bumbung masjid tempat yang selalu dia berdiri melaungkan azan dipijaknya kembali. Azan pertama dalam sejarah Islam dari mulut bekas seorang hamba ini merupakan satu penghargaan Nabi S.A.W kepadanya.

berdiri tegak menghadap qiblat....Nafas ditarik sedalam mungkin menyembunyikan sebak di dada…azan dilaungkan dengan penuh syahdu. Bila kalimah ‘Allahu Akbar! Allahu Akbar!’ dialunkan, bergegarlah seisi Madinah.

‘Asyahadu an la ilaha illa Allah’, jiwa penghuni Madinah makin bergetar. Suara yang pernah didengari pada waktu dan ketika BAGINDA S.A.W masih hidup kembali memenuhi serata ceruk dan pelusuk Madinah.

Takkala laungan ‘Ashadu an na Muhammadan Rasulullah’ kedengaran, keluarlah para wanita daripada rumah-rumah mereka seraya berkata ; ‘Adakah RASULULLAH S.A.W telah dibangkitkan semula?’.

Seisi Madinah diselubungi hiba, azan saidina Bilal r.a mengingatkan kembali kepada nostalgia manis bersama BAGINDA S.A.W.. Tidaklah dilihat satu hari pun yang paling banyak manusia menangis di Madinah selepas kewafatan Nabi S.A.W melainkan hari tersebut, dek kerana rindu yang menggunung kepada BAGINDA S.A.W..

Inilah tanda cinta para sahabat kepada RASULULLAH S.A.W yang sukar untuk kita temui dan rasai sekarang.inilah azan pertama dari mulut saidina Bilal r.a selepas kewafatan nabi MUHAMMAD S.A.W dan azan ke-2 di bumi jordan yang telah sya ceritakan di siri ke-2 musafir ilmu...

Pesan Imam Hassan al-Banna:

“Duhai manusia, datanglah kepada kami. Sesiapa yang tidak boleh menziarahi RASULULLAH S.A.W datanglah kepada kami. Kami adalah pengemis di pintu RASULULLAH S.A.W Sesiapa yang tidak pernah mendengar kisah hidup RASULULLAH S.A.W patut sekali datang mendengarnya daripada kami.”

‘BAGINDA RASULULLAH S.A.W hidup di dalam hati kami dan baginda mendengar segala-galanya. RASULULLAH S.A.W hidup di dalam hati-hati yang mempertahankan Islam dan juga di dalam hati yang penuh dengan kasih sayang serta iman yang datang daripada ajarannya.’

mampukah kita menjadi seperti mereka???tepuk dada tanyalah iman...semoga semangat dan kecintaan seperti ini akan wujud dan dididik dalam diri setiap individu muslim hari ini...alangkah indah hidup ini jika pemimpin tertingginya adalah RASULULLAH S.A.W..walau tidak pernah menatap wajahmu..kami amat-amat merinduimu YA RASULULLAH..

Muhasabahlah cinta kita kepada RASULULLAH...

*cinta sejati menyembuhkan bukan menyakitkan..
yang terpendam, hapuskanlah..jangan membarah, yang ditangisi, lupakanlah... jangan dikenang,
yang dikesali, maafkanlah.. jangan difikir lagi,
kunci bahagia RUMAH kita..
pendamlah keimanan & ingatan manis,
kenangilah tangisan syukur,
semoga cinta terus dalam REDHA ILLAHI*

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP